Cinta Yang Abadi

Bismillahirrahmanirrahim,

                    
                                                 




Salam to all readers~ =) Semoga kita sentiasa di bawah lembayung rahmatnya. Amin. Alhamdulillah, kita masih lagi boleh bernafas menghirup udara segar di bumi Allah kerana cinta dari-Nya.
Sungai yang mengalir adalah kerana cinta, matahari memancarkan cahaya juga kerana cinta, berlabuhnya malam dan siang membuka tirai adalah kerana cinta. Itulah tanda cinta dari Allah yang membenarkan hamba-hambaNya terus bernafas di muka bumi ini walaupun nikmatnya sering dilupakan, walau seribu kurnia dari-Nya dinafikan, walaupun dirinya sebagai pencipta dipandang enteng oleh hamba-Nya. Semuanya kerana CINTA dari Pencipta alam ini.            




“Jangan cari cinta manusia, ia penuh penipuan, kekecewaan, dan tak kekal.
Sebaliknya, carilah Cinta ALLAH, tiada penipuan, tidak akan pernah mengecewakan, itulah CINTA YANG ABADI, CINTA HAKIKI, CINTA SEJATI, CINTA YANG SUCI LAGI MURNI.”    




" Keyakinan kepada Allah adalah ibarat air kedamaian yang tidak pernah kering menjadikan seorang muslim tetap tegar disaat orang lain berguguran dan tetap tenang disaat orang lain ketakutan. Biar rebah jangan berubah, biar terbuang terus berjuang. Ujian adalah tarbiah dr Allah, semakin dekat bahtera kita kepadaNya, semakin hebat taufan melanda"


                         Perhatikanlah ayat al-Quran seterusnya hadith di bawah ini :

“Katakanlah (Wahai Muhammad): 'Jika benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah Mengasihi dan Mengampuni dosa-dosamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.'”

“Barang siapa yang terdapat padanya tiga perkara, dia akan merasa kemanisan iman: iaitu cintainya kepada Allah dan Rasul melebihi cintanya kepada orang lain, cintanya kepada seseorang manusia kerana Allah semata-mata dan membenci untuk kembali kepada maksiat seperti bencinya seseorang terhadap api neraka. Sesungguhnya cinta kepada dunia adalah punca segala dosa dan kejahatan.”                                                                        



 Bila manusia berebut-rebut dan berlumba-lumba memburu cinta Allah maka wujudlah kedamaian, keamanan dan kasih sayang sejagat. Bila hati sudah dipenuhi cinta Allah, manusia akan berfikir, berusaha dan berkorban dengan kemampuan dan kelebihan yang ada untuk membahagiakan orang lain.

   Inilah kesan dan hebatnya cinta Allah. Apabila cinta Allah terus disubur dan dijaga, segala rintangan dalam perjalanan menuju Allah akan terasa ringan dan mudah. Kerana Allah itu sumber tenaga, harapan, cita-cita dan segala-galanya.


Ketahuilah bahawa cinta itu tidak akan wujud secara tiba-tiba atau boleh dipaksa-paksa. Cinta Allah merupakan pohon yang tumbuh secara beransur-ansur di dalam hati insan yang menyemainya. Ia perlu dibaja dan dibela. Tanah untuk menanam benih cinta itulah hati. Ia akan menghasilkan pohon yang rendang dan menghasilkan buah-buah lazat yang dapat dinikmati oleh makhluk yang sudi singgah kepadanya. Ia akan terus rendang, dan tidak pernah pupus kerana benih cinta Allah akan terus wujud hingga bila-bila masa.

   Sumber dan benih cinta Allah itu ada dalam al-Quran. Jika mampu galilah. Benih itu berasal dari Rasulullah SAW. Ia harus dipetik untuk mendapatkan benihnya. Pohon cinta Rasul SAW itu tidak akan pernah mati malah ia akan terus mengeluarkan buahnya setiap detik dan musim melalui suri teladan dalam dirinya serta Sunnah yang ditinggalkannya. Semakin banyak Sunnahnya yang diteladani, semakin subur rimbunlah cinta Allah dalam jiwa. Akhlak yang dilahirkan berkat dari Sunnah Nabi melahirkan akhlak yang sangat cantik dan sempurna.

   Benih cinta Allah yang disemai dalam hati itu juga akan dipenuhi lalang-lalang mazmumah. Ia perlu dibersihkan dengan bersungguh-sungguh, penuh istiqamah dan mujahadah. Zikrullah merupakan antibiotik terbaik untuk membunuh semak samun mazmumah yang bersarang di hati. Selawat itulah baja yang menpercepat tumbuh suburnya pohon cinta Allah. Oleh kerana mazmumah ini ada bermacam-macam jenis, maka perbanyakkanlah zikir supaya tidak mudah bosan.

   Cintailah Allah dan ajaklah sesiapapun mencintai-Nya. Semoga kita dipertemukan dengan pembimbing diri yang sebenarnya, sang Mursyid yang sejati. Insya Allah....

Sekian...

0 comments:

Catat Ulasan